F

Pages

Wednesday 20 November 2013

BUDAK HILANG DI VILLA NABILA - Satu Monolog Kenanganku

BUDAK HILANG DI VILLA NABILA 
Satu Monolog


Suram

Ini satu monolog panjang. Kalau nak faham sila baca semua.

Saya faham. Cerita ni hampir basi. Tapi oleh kerana saya sibuk sikit kebelakangan ni, saya tak sempat nak menulis. Saya cuba lah tulis kasi habis.

Pada 16 hb Nov 2013 Johor Bahru gempar dengan kes beberapa orang anak muda yang hilang dan kerasukan setelah memasuki sebuah kawasan yang selalunya disebut Villa Nabilla.

Ada dengar kes ni?

Pada 18/11/2013 1900h setelah saya selesai tugasan, saya bergerak ke lokasi menaiki rakan media yang memungut saya di kem JMF depan Kotaraya.

Kami pergi kesana atas tugasan rasmi media untuk membuat liputan tentang keadaan terbaru di lokasi, pada waktu itu. Kami bukan pergi suka-suka nak tengok rumah usang tu. Buat penat je kalau macam tu.

Saya tak ingin mengulas apa sejarah lokasi yang dianggap tahap Urban Legend dan apa sebenarnya yang terjadi di sana berkaitan kes budak hilang haritu secara detail. Tapi boleh la sikit-sikit, melalui pengalaman, kefahaman dan sumber orang lama.

Saya malas nak cerita kerana terlalu banyak versi. Selagi saya belum jumpa dokumen siasatan atau apa-apa bukti sah berekod berkaitan kes pembunuhan budak bernama Nabila tu, saya takkan memberi kenyataan kepada anda untuk anda mempercayainya bahawa kes itu benar berlaku. Cukuplah sekadar apa yang saya percaya.

Rumah A atau Christine Villa, cukuplah saya katakan rumah itu telah ditinggalkan lama, kalau dari mata saya, ianya dah lebih 30 tahun. Milik keluarga ahli perniagaan yang kini dikatakan berada di Australia, mengikut sumber orang ramai. Ianya mungkin dibuat untuk menjadi sebuah resort dalam bandar atau clubhouse dan penthouse (atas faktor seni arkiteknya) yang menghadap keindahan pantai Lido (pada zaman tu Lido bersih. Tak kotor macam sekarang). Dipanggil Rumah A kerana bentuk bumbung 3 menaranya yang seakan-akan bentuk huruf A

Adakah rumah A dan Villa Nabila itu rumah yang sama? Jawapan pada saya adalah tidak kerana walaupun ianya dalam satu strip tanah yang berdekatan tapi ianya berbeza dari segi zaman, rekabentuk, pintu masuk dan kes/cerita yang berlaku di situ. Namun boleh pergi ke Villa Nabila melalui pagar utama. Rumah A tepi laut. Tapi amat mudah ke Villa Nabila jika mengikut jalan belakang yang menghadap kawasan Istana. Tapi kiri kanan jalan tu ada rumah orang.

Cukuplah saya katakan Rumah A atau Christine Villa dan Villa Nabila itu terletak dua lot dari rumah kediaman rasmi bapa saya semasa dia bertugas dulu. Bersebelahan dengan rumah kelab JCS yang sering saya kunjungi masa kecik dulu. Maka mungkin anda akan faham sikit bagaimana saya faham tentang tempat itu, sedikit sebanyak.

Mungkin ada kenyataan saya dalam penulisan ini agak kabur dan tergantung.  Ianya kerana saya memberi ruang anda berfikir. Jadi, buka kotak akal dan mata hati anda seluasnya.

Jika anda mengenali saya dari dulu, anda akan faham betapa sukanya saya buat bermacam-macam aktiviti. Memang tak reti dok diam. Maka anda akan faham apa yang pernah saya lalui. Termasuklah benda-benda bodoh dan tak berfaedah.

Lebih sepuluh kali saya naik turun kawasan tu. Masa zaman rempit (walaupun saya takda motor, tp jd marshall mingguan haha) jika ada roadblock di jalan Lido, kami akan lari sembunyi motor ke dalam kawasan rumah itu.

Pernah saya mengikuti program yang memerlukan saya masuk dari pintu gate bawah ke bangunan yang kami 'menara 3' di atas bukit berseorangan pada pukul 3 pagi. Kenangan pahit. Malas nak cerita.
Teringat pada satu subuh semasa kami memanjat bukit tu, terdengar suara jeritan pakcik yang jaga rumah JCS sebelah. 
" WOIII KORANG NAK KEMANA TU??? "

Banyak kenangan saya bersama rakan-rakan di rumah itu. Termasuklah kenangan saya bersama arwah Yazid, sahabat saya yang meninggal akibat kanser beberapa bulan lepas. Syok masuk dengan dia dalam tu. Ketawa je memanjang. Berani dalam takut.



SAYA SERAM #1


Sekitar tahun 2005

Ada sekali masa kami masuk berempat (Saya, Hakim, Akmal, Arwah Ajib) terjadi suatu yang memeranjatkan dan menyeramkan.

Setibanya kami ke tingkat 2 menara 1 sambil menikmati pemandangan laut Lido, terdengar bunyi tapak kaki jalan turun dari tingkat 3.

" Dub Dub Dub "

Semua muka dah seriau. Inilah first time kami mengalami 'physical contact' sehebat begini sehingga bergegar hampir keseluruhan Menara 1. Dah le tempat tu uzur nak roboh! Bunyi tapak kaki itu kedengaran semakin menghampiri kami dalam gelap.

Saya dan rakan-rakan telah bersedia untuk lompat ke bawah mengikut beranda tingkat 2, terus masuk ke swimming pool lama bawah tu, jika ada perkara yang merbahaya berlaku. Ini bukan sebarang entiti. Selalunya kami cuma nampak kelibat dan suara entiti sahaja - Terbang dan Mengilai. Tapi kali ni, physical contact. Baca Ayat Kursi pun tak jalan.

Bunyi itu semakin hampir kepada kami, turun melalui tangga yang usang di bangunan yang telah ditinggalkan lebih dari 50 tahun. Mata kami tercegat menumpukan penglihatan ke arah tangga tersebut.

Kaki, Gelap, Besar, dan Berbulu. Terhenti ianya melangkah turun dari tangga. Ibarat dia nak tayang sikit-sikit. Saya terus mengeluarkan pisau lipat saya. Kami memerhati dalam gelap. Nak bukak torchlight awal-awal takut benda tu terus lari sebelum kami dapat melihat wajah dan fizikal sepenuhnya.

Kaki itu tadi meneruskan langkah dia turun dari tangga untuk menghampiri kami. Kami dah sedia, sedia untuk menikam atai terus lompat kebawah

" Dub Dub Dub "

Terdengar ianya berkata, dari gelap dengan suara yang besar dan garau.

" BUAT APA SINI?  "

Kami terdiam... Dia bersuara lagi:

" Ada Ganja tak?"

Saya terus membuka torchlight dan menyuluh ke arahnya.

Rupanya suara itu milik seorang penghuni kat situ. Berbangsa india, badan sihat. Rambut dreadlock. Dia ni macam tak betul sikit. Tapi ok. Ada gian sikit kot, kalau tengok caranya. Biliknya di tingkat atas.

Selepas menyapa kami, dia turun kebawah ambik kayu-kayu kemudian naik ke atas semula. Hidung kami terhidu bau hangit. Dia bakar kayu buat unggun api kecik kot?

Lupa tanya nama dia.

Kali akhir saya nampak dia ni mungkin dalam 2-3 tahun lepas. Dia sedang berjalan di tepi pantai lido sambil tak pakai baju.




SAYA SERAM #2

Sekitar tahun 2002. Malam Minggu.

Saya ada kawan non muslim dari Sabah. Dia tinggal di area bandar senai ketika baru datang ke Semenanjung. Best orangnya. Waktu itu dia bekerja di KFC Senai.

Pada satu petang, dia telah menelefon saya dan mengajak saya pergi ke Rumah A selepas maghrib naik motor skuternya.

Ketika dia sampai di rumah saya, dia bawak beg askar yang besar.

" Apa hal kau bawak beg sebesar-besar tidak ni? " Saya tanya.

" Gagak bro. Kau tolong pegang beg ni. " Dia jawab.

" Ko nak buat hapa gagak ni? Berat beg ni. Brapa ekor? " Saya tanya lagi.

" Kita BBQ kat rumah nabila, kita ikut rumah A. Motor boleh parking situ. Kita jalan. Ada 15 je"
Dia jawab dengan selamber badak je.

Start Skuter, kami bergerak. Pada ketika itu saya rasa saya tahu apa niat dia. Saya pun malas nak tanya banyak.

Kami sampai di lokasi pada pukul 11. Parking skuter di 'pondok guard' di sebelah kiri jalan masuk kawasan rumah tu, betul-betul selepas pintu pagar utama.

Tetiba saya ada terdengar bunyi benda jatuh dalam kolam renang lama yang sebelah kiri kami. Terkejut juga. Masuk-masuk terus ada bunyi. Tapi mungkin ianya ranting kayu. Malas nak fikir bukan-bukan.

Kami keluar dari kawasan itu meninggalkan motor dan jalan kaki ke seberang jalan besar untuk pekena steamboat dan air panas di lori steamboat dekat tepi pantai lido.

" Kenapa tak masuk sekarang?" tanya saya

"Rilek bro. Masa belum Time" Dia jawab.

Apajadah punya bahasa dia cakap pun saya tak tahu lah. " Masa Belum Time."

Kami berborak lama di meja steamboat tu. Cerita tentang macam-macam, kecuali cerita apa yang kami akan buat pada malam ini. Air sampai dua round. Manusia silih berganti dok makan kat situ. Maklumlah malam minggu. Macam-macam jenis manusia keluar. Cuci mata. Pelbagai aneka awek ada.
Kami je yang tak berganjak. Sambil-sambil tu rakan saya asyik tengok pintu pagar Rumah A tu, khuatir skuternya kat dalam tu dikebas orang.

Jalan Lido makin lengang, yang ada pun sekumpulan budak2 kereta tapi mereka berkumpul jauh sikit dalam 100 meter dari kami. Test mesen masing-masing. Lori steamboat ni pun dah start kemas barang untuk balik. 

Kami tengok jam, dah pukul 2:30am.

" kita gerak dalam. Beg biar aku bawak" kata kawan saya.

Perjalanan kami dari pintu gerbang disambut bau wangi pokok kemboja kot. Tapi saya dah lali bau benda tu area situ. Masa kecik-kecik bila saya datang rumah kelab JCS di sebelah rumah A ni pun memang ada bau juga. Tapi mak cakap "jangan tegur", time tu.

Tipulah jika saya cakap saya tak takut lansung. Hingga saya konfius mana satu bunyi sebenar dan bunyi yang saya imaginasi sepanjang jalan itu.

Ada bunyi seperti orang berbisik sebelah saya, suara perempuan. Mungkin saya hanya berimaginasi. Walaupun ianya berbunyi berulang kali.

Kami diam tak berbual sepanjang jalan ke atas, melalui celah-celah pokok besar, semak samun dan bangunan usang dalam gelap. Saya memegang lampu picit kecik pada tangan kiri, hanya menyuluh ke bawah - tempat di mana yang saya akan lalui. Tangan kiri saya pegang cotar besi yang jenis boleh panjang tu atau orang putih kata: 'telescopic baton' (tak tau sila google). Selain itu saya ada selit pisau lipat saya dipinggang. 

Saya jalan depan, kawan saya jalan belakang.

Bau busuk seperti bau bangkai semerbak secara tiba-tiba. Kami terhenti. Selang berapa saat bau wangi pula, macam bau awal-awal tadi. Bau itu selang seli. Kejap busuk kejap wangi. Ketika itu kami baru melepasi 'menara 2'.

Malas nak fikir panjang, saya terus bakar rokok kretek saya. Busuk dan Wangi? Hilang terus. Bau kretek je ada.

Kami meneruskan perjalanan sehingga sampai belakang menara 3 yang semak samun dan tahap teruk dan ada tebing tanah runtuh sikit sebelum naik ke puncak bukit ke rumah banglo lama yang mereka dakwa rumah nabila.

" kau tunggu sini, baik aku masuk sorang ke sana" kata member saya.

Dia panjat dan terus meredah semak masuk ke banglo tu. Perlu faham kawasan ini adalah kawasan bukit. Saya tinggal seorang di belakang menara 3. Saya mula mengumpul ranting kayu dan buat tiga unggun api kecil untuk kasi terang sekeliling saya. Nyamuk banyak boleh tahan.

Dari bawah saya nampak sinar lampu picit kawan saya mula kelam dan dipadam ketika dalam sebuah ruang di rumah itu. Saya perhati dari jauh. Kemudian saya lihat sinar yang mungkin dari nyalaan lilin yang dibakar oleh rakan saya. Kita boleh bezakan antara sinar lampu picit dan sinar nyalaan lilin.

Kemudian kelihatan asap dari rumah itu, seperti kawan saya membakar sesuatu dari dalam.
Saya bercangkung, cuba menyibukkan diri main unggun api kecil saya untuk menghilangkan seram kerana duduk sorang-sorang. Ada juga fikir nyesal ikut buat benda ni. Bunyi dah macam-macam saya dengar. Walaupun hanya sayup-sayup saja. Mungkin saya berimaginasi.

Hampir satu jam dan rasa seram tu makin menebal bila bau busuk itu muncul lagi. Saya dah mula tak duduk diam. Nak kencing pun tahan. Saya cuba misscall kawan saya di dalam.

" KUAAAKKK "
Bunyi macam burung gagak atau apa ntah dekat atas pokok besar depan saya. Saya tak berani tengok. Bangun dan cuba buat berani.

" KUAAAAAKKKKKKKKK "
Kali ni makin kuat dan garang. Saya tak sengaja terjerit dengan kuat. Ibarat orang melatah berani dalam takut:

" DIAMLAH!"
Bergema suara saya di kawasan tu.

Terus saya terdengar bunyi sesuatu yang besar ibarat benda berkibas  terbang meninggalkan pokok itu. Ibarat bunyi kain besar anda kibas atau hayun berulang kali. Semakin lama bunyi berkibas tu semakin jauh. Saya tak tengok pun. Tapi saya faham apa benda tu.

Harap dia tak patah balik bawak geng. Masak lah saya. Iman tak tebal, ilmu tak tinggi. Memang pengsan kalau saya kena keroyok kat situ dengan benda tu sorang-sorang.

Kadangkala bila kita 'terrrberani' macam tu, keadaan akan tenang semula. Tapi dalam keadaan tertentu, bahaya juga.

Ayat kursi saya akan guna sebagai last resort. Selagi saya boleh kawal, saya kawal emosi saya. Walaupun tahap gigil saya, tak terucap dengan kata-kata.

Tiba-tiba peha saya bergegar. Ibarat ada orang pegang dan goncang. Saya melompat terkejut tanpa suara.
Celaka. Rupanya Henfon saya vibrate dalam kocek. Member saya dari banglo atas SMS saya:
" jangan bising "

Mungkin dia terdengar saya menjerit tadi.

Saya mula bercangkung semula dan memerhati cahaya dari banglo atas tu. Nampak kelibat bayang rakan saya.... Saya harap tu memang bayang dia.

Bunyi tapak kaki!

Saya terdengar seperti ada orang berjalan di dalam 'menara 3' belakang saya ni. Adoi. Bulu roma mula meremang. Saya terus berlari ke arah tembok batu dan keluar dari kawasan villa tu ke kawasan yang semak tapi luas sikit, tanpa ada apa halangan visual. Sekurang-kurangnya saya boleh nampak sesuatu yang datang dari jauh. Ianya lebih baik dari tempat yang celah-celah.

" DUMMM! "
Terdengar bunyi sesuatu yg kuat dan bergema dari dalam rumah banglo yang kawan saya masuk tu. Seperti ketulan batu besar jatuh. Dia masih ada dalam tu. Saya terus menoleh semula ke arah rumah itu. Kelihatan bayangnya kelam kabut. Saya tak sedap hati.

" KUAAAAAAAAKKKK "
Bunyi tadi menjerit seolah-olah betul-betul di sebelah gegendang telinga saya. Saya terkejut dan tersungkur jatuh dalam semak tu. Cotar saya tercicir. Jantung rasa nak gugur. Bulu roma dan tengkuk saya meremang.
Dalam masa itu, kedengaran bunyi seperti bunyi di atas pokok tadi berkibas, macam bunyi bendera ditiup angin kencang di atas saya, bagaikan mengelilingi saya.

Saya bingkas bangun. Nak mula baca ayat Kursi. Sumpah dah tak boleh handle. Orang kata takda pernah dengar manusia mati kena cekik hantu. Tapi saya pernah jumpa orang yang lumpuh sebab bermain dengan benda-benda ni. Maka saya taknak ambik risiko, saya mula menyiapkan diri.

Baru awal Bismillah saya sebut, Tetiba saya terdengar dan ternampak rakan saya huru hara keluar dari banglo atas tu. Dari jauh nampak sinar lampu picitnya huru hara. Saya mula panik.
Dia berlari ke arah saya, memandang ke arah atas saya kemudian dia terberhenti dan menjerit sekuat hati pada saya .
" ATAS KAU! ATAS KAU! "

Tanpa berlengah saya terus lari semula ke dalam kawasan tembok rumah A, untuk menghala ke jalan menara 3 untuk turun ke menara 1.

" JANGAN LALU SITU! LALU SINI! "
Kata kawan saya yang menunjuk jalan turun bukit yang melalui kawasan bersemak tebal betul2 disebelah kiri Rumah A. Jalan itu 200 meter dari atas ke bawah menuju terus ke jalan besar (Jalan Skudai). Hakikatnya ianya jalan yang paling senang keluar dari jalan yang kat dalam kawasan Rumah A yang berselirat dengan pokok, dan semak.

Kami berlari. Tak ingat dunia.  Bunyi kain tu ibarat semakin kuat di belakang saya, seperti mengejar. Jangan pandang belakang. Lari! Saya cuba baca ayat kursi tapi tak pasti apa yang saya baca.
Saya jatuh dan bergolek. Bangun semula, dan lari. Tiba di jalan besar saya lari lintas tanpa tengok kiri kanan. Ada bunyi hon. Nasib baik saya tak kena langgar. Terus ke tepi jalan batu tepi pantai lido (sekarang dah takda dah, dah kena tambak pasir).
Mencungap.

Saya toleh kebelakang dan melihat ke arah bangunan itu. Rasa selamat bila berjaya lintas ke seberang jalan. Celaka. Nak putus semua urat. Rasa nak pitam. Kawan saya terus terbaring tepi batu pantai lido yang busuk tu.

" beg kau mana? motor kau macamana? Dalam pondok guard tu!" saya tanya kawan saya.
" Biar dulu lah! Kita tunggu pagi sikit . Beg aku tertinggal "
Dia jawab sambil tercungap-cungap.

Dia menyeluk kocek jaketnya. Dan menunjukkan sesuatu pada saya.
" Nah. Hasil malam ni. Duit sate gagak! "

Segenggam duit RM50. Mungkin dalam 7-8 keping kot.

Saya tengok jam dah pukul 5 lebih pagi.

Dia cerita ada benda yang hodoh dan menyeramkan cuba terkam dia masa dia buat puja. Dia dah habis bakar gagak tapi benda tu macam marah dan tunjukkan rupanya dari gelap.

" Tadi masa lari 'kain buruk' tu ikut kau " dia kata.

Saya cuma terdiam dan secara spontan saya jawab :
" pergi mampus aku nak ikut kau buat benda ni lagi. "

Dia ketawa.

Selepas azan subuh, kami pergi masuk semula ambik skuter.
Start motor dan balik. Dia offer saya hampir separuh duit yang dia dapat tu.
Tapi saya menolak. At least saya dapat pengalaman berharga, lebih berharga dari hasil duit haram tu. Dia non-muslim, dan saya konfius dia agama apa maka dia tak perlu risau bab tu.

Ingat. Pemujaan benda bukan-bukan adalab salah dari segi syariat Islam. Tergelincir dari syahadah. Sebab itu saya tak join dia pergi bakar 'sate gagak' tu. Cuma nak dapat pengalaman masuk dengan kaki puja je.

Itulah sedikit sebanyak kisah saya yg saya sempat tulis. Penat nak tulis semua. Nanti tak siap. Itu belum masuk saya kena sergah dalam kereta masa parking dekat rumah JCS sebelah tu.



BUDAK HILANG DI VILLA NABILA

Saya malas nak cakap pasal benda ni kerana PDRM pun dah keluar official statement. Cukuplah saya kata mereka yang pergi masa awal kejadian saja yang faham dan beberapa orang individu di Masjid Abu Bakar yang tahu apa yang berlaku.

Saya menemani rakan saya yang bertugas sebagai media sebuah akhbar cuma membuat liputan tentang hiruk-pikuknya suasana Rumah A pada malam 18hb apabila hampir 1000 orang ramai datang untuk 'menziarah' rumah tersebut. Siap ada jual air beb.
Ini adalah hasil laporan kami:

Metro

http://goo.gl/IssY30

Mungkin mereka terpanggil nak pergi kerana rasa prihatin terhadap budam yang dikatakan hilang itu. Mungkin sebab dulu nak pergi tapi takut, bila ramai-ramai masuk barulah semua berani nak masuk. Ada juga pihak-pihak yang cuba tunjuk expert untuk mendapat publisiti murahan. Mungkin juga sebab jakun kerana baru je tahu tempat tu wujud dalam JB. Apakejadah.

Kami amat risau apabila ramai yang mula menaiki 'menara 1' secara beramai-ramai. Perlu difahamkan tempat ini dah usang dan uzur. Konkrit berceracak di tepi tangga. Tangga pun dah reput. Kalaulah tetiba runtuh, tak ke datangkan satu musibah yang lebih besar dari kes budak hilang tu?

Pihak PDRM juga seperti dah mati akal bila orang ramai membanjiri tempat itu. Jalan jem beberapa KM. Arahan PDRM lansung tidak diendahkan. Cadangan saya supaya lain kali jika berlaku kes pelik seperti ini, PDRM hantar anggota blok jalan masuk lokasi kejadian lebih awal, walaupun dikatakan kes itu telah selesai. Hantar je Rela atau lebih baik, FRU untuk kepung pintu masuk tersebut. Namun, ianya cuma cadangan bodoh saya.

Kita dapat lihat mentaliti orang kita yang sememangnya prihatin (walaupun kadang2 prihatin tak bertempat). Tapi kalau anda ada pada malam itu, kelihatan semua bangsa ada. Dan semua bertanya
" budak tu dah jumpa? "

Atas sebab keprihatinan orang kita yang luar biasa itulah menyebabkan orang kita selalu dimanipulasi mindanya, kadang-kadang. Tidak hairanlah apabila ada yang sebut ada 50,000 bangla yang masuk mengundi semasa PRU3, ada yang percaya lalu marah dan mengepung pusat mengundi atau pusat yang disyaki menyimpan bangla. Contohnya terjadi di tempat saya Kulaijaya apabila lebih 300 orang mengepung Pejabat Daerah kerana mereka dapat berita ada bangla dok dalam tu untuk mengundi. Ada kata 500 ada kata 50 ada kata 5000. Padahal sekor bangla pun mereka tak dapat cari dan bawa ke Balai untuk buat laporan!
Namun sekali lagi jika difikir pada sudut positif, orang kita tak kira apa bangsa dan agama mungkin akan bersatu jika terjadinya sesuatu keadaan yang getir. Harap perkara ini dapat dipraktikkan kepada perkara-perkara seperti tindakan awal orang awam menangani bencana alam mahupun peperangan. United We Stand. Cuma perlu disalurkan ke jalan yang betul melalui sumber informasi yang sah. Bukan dari rumors yang melampau, tak kira dalam apa situasi sekali pun.

Kepada anak muda. Saya pernah melalui zaman gila seperti anda. Cukuplah apa yang kami lalui. Saya faham semangat berontak dan ingin tahu itu menebal dalam diri remaja. Tapi kita perlu ukur baju badan sendiri. Jangan pergi ke tempat merbahaya seperti ini. Kat situ kalau ada kes bunuh, dicampak mayat anda masuk swimming pool tu, takda sapa pun tahu. Jalan ini selalunya berakhir dengan kesulitan. Benda suka-suka jadi duka, pastu membimbangkan dan menyusahkan orang!
Sekarang anda semua mungkin faham sedikit sebanyak tentang tempat ini. Saya menerangkan bukan bermaksud untuk menggalakkan anda pergi ke sana. Dan saya tak kata semua sumber saya adalah tepat, kecuali apa yang saya lalui sendiri. At least ianya boleh memberi anda 'a pieces from a puzzle' berkaitan hal misteri urban legend lokasi ini.

Yang baik dijadikan Tauladan,
Yang buruk dijadikan Sempadan

Akhir kata saya akui memang Rumah A atau Christine Villa serta Villa Nabila itu memang KERAS!
.. Sebab banyak batu konkrit dan pokok.


Kita Layan Lagu ni.. Member aku Ah Seng suka lagu ni. Begitu juga dengan Alfi Jepun. Ada sentimental value katanya.
CINTA UNTUK NABILA - MELISSA


GAMBAR PADA 18/11/2013
Kelam Suasana Malam itu

Gigih menemuramah seorang petugas Masjid Abu Bakar yang terbabit membantu.
Nampak?
Nampak Tak?
Tak Nampak?
Hafidz Metro
Shafik
Abby
Semua Berkerut 
Dah macam pesta
Yes. PDRM datang untuk mengawal keadaan
Lama tak masuk sini. Buat gila jap

2 comments:

  1. ko punye cite mmg terbaik.. tiba2 teringat zaman gile2 dlo.. rindoo sey

    ReplyDelete
    Replies
    1. kenangan tu semua beb............. tunggu anak kita semua besar sikit. bleh buat kerja gila semula hahahah

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...